PKPB KL, Selangor, Putrajaya

SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku seperti di Klang di Petaling dan kes dilihat meningkat di Gombak dan daerah-daerah lain,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Dengan pelaksanaan PKPB, Ismail Sabri berkata, pergerakan keluar masuk/ merentas daerah adalah tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan. Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, tahfiz, taman awam, masjid dan rumah ibadat, pusat rekreasi, serta pusat hiburan dan kelab malam ditutup.

Larangan itu, katanya, termasuk semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, budaya, dan termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan.

“Walaubagaimanapun, semua kegiatan ekonomi di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Senarai SOP lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat,” katanya lagi.

RINGKASAN AKTIVITI YANG DILARANG SEMASA PKPB

•Pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Pekerja yang perlu merentas daerah perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

•Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

•Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

•Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup.

•Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.

•Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.

•Walaubagaimanapun, semua kegiatan ekonomi di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa. Senarai lanjut SOP akan diumumkan MKN dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment