Pas hargai lantikan ADUN

PAS menyifatkan pelantikan Setiausaha Pas Sabah sebagai ADUN yang dilantik membuka lembaran baharu kepada Pas negeri itu bagi menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat pelbagai kaum dan etnik di Sabah.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, keberadaan Pas di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan Pas dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama.

Beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk melantik Dr. Aliakbar.

“Kepada Dr. Aliakbar Gulasan dan Pas Sabah, semoga kalian diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Aliakbar, 49, yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) adalah pemimpin Pas pertama di Sabah menjadi ADUN di negeri itu.

Beliau yang berasal dari Kampung Kota Ayangan, Keningau sebelum ini adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain memegang jawatan Setiausaha Pas negeri, beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Pas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September lalu tetapi menurunkan jenteranya untuk membantu PN dan rakan sekutunya di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang kempen PRN berkenaan.

Selepas GRS berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, pemimpin Pas Pusat dan UMNO menyatakan harapan supaya parti itu diberikan tempat sebagai ADUN Dilantik walaupun dibantah rakan parti tempatan khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

PBS dan STAR sebelum ini menjelaskan tiada perbincangan untuk melantik wakil Pas, selain menganggap kehadiran parti berasaskan Islam itu tidak bersesuaian dengan budaya di Sabah.

Pas bagaimanapun sudah lama bertapak di Sabah dan pernah menyertai beberapa pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

Related posts

Leave a Comment