Geng ‘gelang’ jangan jadi ‘nila’ atau ‘kerbau’

SEMALAM, saya menulis mengenai kepatuhan jemaah masjid dan surau lebih baik berbanding mereka yang hadir di tempat awam seperti restoran, pasar atau pusat membeli-belah. Mereka faham prosedur operasi standard (SOP) masjid dan surau.

Malangnya ada juga individu yang sama ada dengan sengaja atau tidak, hanya memahami SOP itu sekadar berwuduk di rumah, bawa sejadah, ambil bacaan suhu, daftar kehadiran dan jaga jarak fizikal dalam saf. Tahap kesihatan diri sendiri dilupakan.

Akibatnya, kunjungan mereka ke masjid menyebabkan masyarakat panik. Hari ini ada Masjid Bandar Seri Putra disanitasi atau nyahkuman. Lebih mendukacitakan hari ini juga Masjid Dato’ Klana Petra dekat Nilai ditutup.

Semuanya gara-gara kehadiran mereka, individu disyaki pesakit Covid-19 atau pemakai gelang merah jambu (atau warna lain yang berkaitan Covid-19). Ya, mereka mungkin mematuhi SOP masuk masjid atau surau tetapi dia ‘lupa’ tahap kesihatannya dan sedang menjalani kuarantin.

Individu yang dipakaikan gelang kuarantin ini tidak boleh keluar rumah sehingga tempoh kuarantin tamat, sekurang-kurangnya 14 hari.

Adakah pemilik gelang ini tidak faham maksud kuarantin? Apa tujuan mendedahkan diri di khalayak sama ada di pusat membeli belah, restoran dan juga masjid atau surau? Jika masa PKP berpuluh hari duduk di rumah kenapa tidak 14 hari?

Kenapa mereka tampil menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang awam yang selama ini mematuhi SOP untuk ke tempat-tempat berkenaan? Di mana kawalan kendiri demi kepentingan masyarakat?

Kedegilan mereka ke sana sini ke sana ke sini (bukan setakat masjid tetapi tempat awam lain), ibarat seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit. Begitu juga kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Bagaimana jika kehadiran pemilik gelang itu tidak disedari jemaah? Jika diketahui, maka pihak masjid dan surau terpaksa melakukan sanitasi bagi mengelakkan kebimbangan dan kesan kepada jemaah lain.

Sanitasi ini memerlukan masa, kos dan mungkin penutupan sementara masjid. Daripada mana kos itu datang? Bukan terlalu berkira soal kos tetapi hanya kerana silap seorang, lebih baik kos itu diagihkan kepada lebih ramai golongan asnaf.

Lebih malang jika kehadirannya memberi kesan buruk kepada kesihatan jemaah lain atau masjid ditutup disebabkan sikap tidak bertanggungjawab jemaah berkenaan.

Ingatlah, jika berlaku penutupan masjid atau surau gara-gara ‘seekor kerbau membawa lumpur ini’, rasanya tidak ada jemaah lebih-lebih lagi ‘geng masjid’ yang akan mengucapkan terima kasih kepada individu berkenaan.

Justeru, kepada pemakai gelang kuarantin ini janganlah menjadi ‘seekor kerbau’ atau ‘setitik nila’. Duduklah di rumah sehingga tempoh kuarantin tamat bagi

memastikan keselamatan mereka, keluarga serta orang lain.

Jangan menyusahkan masyarakat. Ingat kes Sivagangga Ogos lalu. Gara-gara individu ingkar kuarantin, kira-kira 7,000 penduduk empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Related posts

Leave a Comment