9DUA buah masjid iaitu di Nilai, Negeri Sembilan dan Bandar Seri Putra, Kajang disanitasi oleh pihak berkuasa berikutan kehadiran jemaah yang disyaki pesakit Covid-19 atau pemakai gelang merah jambu yang perlu dikuarantin di rumah.
Masjid Dato’ Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong, Putra Nilai dalam satu pengumuman memaklumkan, pesakit berkenaan hadir ke masjid pada 4 Oktober.
Berikutan itu, masjid itu ditutup untuk solat Zuhur dan Asar hari ini (5 Oktober) bagi membolehkan kerja-kerja nyahkuman atau sanitasi dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Pihak Kementerian Kesihatan telah dimaklumkan dan hanya yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit sahaja akan dihubungi.
“Ada pun yang lain, diminta bertenang serta terus menjalani kehidupan dengan mematuhi SOP ditetapkan dan masjid dibuka semula untuk solat berjemaah pada waktu Maghrib dan Isyak hari ini (05 Oktober 2020),” kata pengumuman itu.
Sementara itu, dewan solat utama dan ruang wuduk Masjid Bandar Seri Putra, Kajang juga telah disanitasi malam tadi (4 Oktober) sejurus seorang individu yang memakai gelang kuarantin dikesan hadir solat Isyak.
Individu berkenaan dikatakan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri untuk solat di bahagian belakang saf dan meninggalkan masjid sejurus selesai solat.