PM minta rakyat bertenang

PERDANA Menteri, Muhyiddin Yassin meminta seluruh rakyat Malaysia bertenang dalam menghadapi penularan Covid-19 pada masa ini kerana situasi terkini jangkitan dalam negara masih terkawal dan dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai pihak.

Beliau yang mengakui memahami kebimbangan masyarakat berikutan peningkatan kes baharu jangkitan memberi jaminan dan komitmen bahawa kerajaan akan terus mengawal dan menguruskan penularan jangkitan virus itu sebaik mungkin..

“Saya percaya pasukan barisan hadapan negara kita khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik.

“Marilah kita bersama-sama membudayakan norma baharu dan mematuhi semua SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya pada Sabtu 3 Oktober .

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri berkata, pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan jumlah kes jangkitan Covid-19 dari Sabah sehingga 2 Oktober 2020 ialah 139 orang iaitu 1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan di dalam negara..

“Untuk makluman, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan di dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan dari kluster-kluster yang telah pun dikenal pasti dan terkawal.

“Kesemua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes-kes positif dapat dikesan dan diasingkan.

“Hal ini menyebabkan lebih banyak kes positif COVID-19 dapat dikesan dan menyumbang kepada statistik harian di dalam negara,” ujarnya.

Malah, katanya kerajaan turut memutuskan supaya semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan disaring dan ditempatkan di Pusat-Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) yang disediakan.

Selain itu, anggota keselamatan serta aset juga akan ditambah untuk mengawal sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI khususnya di negeri Sabah.

Related posts

Leave a Comment