Tiada keperluan PKP

PUTRAJAYA : “PKP ke hari ini? Tidak…” itu reaksi Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Beliau sedar ramai yang ternanti-nanti pengumuman pada sidang media selepas menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya, tidak ada keperluan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Beliau berkata meskipun angka positif Covid-19 dilihat besar, namun kebanyakan kes itu melibatkan tahanan penjara di Kedah dan Sabah, yang terasing daripada komuniti.

“PKP ke hari ini? Tidak… kita tidak akan mengisytiharkan PKP kerana contohnya semalam, walaupun mencatatkan jumlah 287 kes tetapi 128 daripada 129 kes di Kedah misalnya, adalah melibatkan Kluster Tembok iaitu mereka di dalam penjara.

“Di Sabah, 35 kes adalah melibatkan Kluster Benteng juga di penjara… yang di luar 78 kes dan walaupun angka itu juga besar namun kami sudah buat kawalan,” katanya.

Beliau berkata kes di negeri-negeri lain juga mencatatkan angka yang rendah, sama ada satu hingga tiga kes sahaja, kecuali Selangor 31, namun ia belum sampai ke tahap merah.

“Saya sudah katakan sebelum ini, tak mungkin akan sifar kes Covid-19 di seluruh negara. Covid-19 ini masih berada di sekeliling kita.

“Esok lusa, mungkin ada yang akan kena Covid-19 ini. Kalau ada satu atau dua kes, dan kita nak laksana PKP seluruh negara, sampai bila pun negeri-negeri tidak boleh dibuka kerana PKP akan terus dikenakan seluruh negara kerana satu dua kes ini.

“Jadi sebab itu belum lagi untuk kita laksana PKP,” katanya.

Mengambil contoh di Selangor, beliau berkata, jika terdapat kes yang meningkat dengan ketara, PKPD Secara Pentadbiran akan dilakukan mengikut kawasan tertentu.

“Kalau tiba-tiba di Selangor catat 40 hingga 50 kes, kita akan kenal pasti kawasan-kawasan di Selangor tersebut, iaitu kawasan merah secara bersasar di Selangor untuk kita laksana PKPD secara lokaliti.

“Kita tidak tutup seluruh Selangor pun. Kalau kena di Shah Alam misalnya, di Shah Alam sahaja, bukan seluruh Selangor.

“Mungkin satu atau dua pangsapuri atau perkampungan, ini sebagai contoh,” katanya.

Related posts

Leave a Comment