PUTRAJAYA: Situasi di Sabah adalah contoh terbaik untuk menunjukkan kesan apabila tidak berjaga-jaga dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sehingga kes Covid-19 naik mendadak.
Ia perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak jika tidak mahu kes Covid-19 terus mencatatkan angka membimbangkan pada masa hadapan.
Dalam hal ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan,
Malaysia masih belum betul-betul menang dalam pertempuran dengan virus itu meskipun sudah berjaya menanganinya dengan baik sebelum ini.
“Kita faham anda mungkin rasa penat tetapi virus itu tak pernah penat. Pada saat kita kurang berjaga-jaga, virus akan mula merebak dengan cepat. Kita harap semua orang ambil pengajaran dan jangan lakukan perkara ini lagi,” katanya merujuk peningkatan kes yang berlaku hari ini.
“Kalah atau menang benar-benar bergantung kepada kita sekarang,” ujarnya.
Sebanyak 287 kes baharu positif Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari pada Jumaat sekali gus merupakan jumlah tertinggi pernah dicatatkan di negara ini. Kedah merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 129 kes diikuti Sabah, 113 kes dan Selangor dengan 31 kes.
Dr. Noor Hisham juga mengingatkan bahawa peningkatan kes ketika ini adalah fenomena permulaan bagi negara menghadapi gelombang ketiga.
Menurutnya, peningkatan kes sedemikian bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut dialami banyak negara lain.
“Apa yang kita perlu lakukan ialah untuk membendung penularan jangkitan dan untuk membendung virus tersebut, tindakan kita adalah amat penting.
“Kalau kita amalkan SOP, kita dapat putuskan jangkitan. SOP kita telah buat untuk semua sektor dan harap rakyat Malaysia patuhi semua SOP itu,” katanya.