287 kes, angka tertinggi

PUTRAJAYA : Angka 287 adalah jumlah kes harian tertinggi direkodkan sejak pandemik Covid-19 mula dikesan di negara ini. Dengan perkembangan ini, jumlah kes terkumpul setakat ini sebanyak 11,771 dengan kes aktif 1,540.

Untuk rekod, jumlah tertinggi sebelum ini, 200 kes adalah pada 23 Mac (212), 26 Mac (235), 2 April (208), 3 April (217), 4 Jun (277) dan 1 Oktober 260 kes.

Merujuk kes hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes itu adalah penularan tempatan.

“Trend peningkatan inilah yang Kementerian Kesihatan  (KKM) khuatiri dan diperingatkan hampir setiap hari kepada semua pihak, kerana perkara itu sememangnya selari dengan trend peningkatan jumlah kes dan kematian Covid-19 yang dilihat di seluruh dunia. 

Beliau berkata tiada kematian baharu akibat Covid-19 dilaporkan  dan jumlah kumulatif kes kematian kekal 136 kes.

Dr Noor Hisham berkata 20 daripada kes baharu hari ini merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept lepas sebanyak 139 kes.

Beliau berkata pecahan kes berkenaan yang dikesan menerusi saringan merangkumi 13 di Selangor, masing-masing dua di Perak dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu kes di Terengganu, Kelantan dan Wilayah persekutuan Labuan. 

Kedah merekodkan kes baharu tertinggi iaitu 129 dengan 128 kes melibatkan Kluster Tembok.

Ini disusuli Sabah yang mencatatkan 113 kes baharu merangkumi  52 kes saringan bergejala; 35 daripada kluster Benteng LD dan 15 kes melibatkan Kluster Bangau-Bangau.

Selangor pula mencatatkan 31 kes baharu termasuk lapan daripada Kluster Seri Anggerik dan satu kes melibatkan Kluster Seri Setia, kedua-duanya merupakan kluster baharu.

Turut merekodkan kes baharu dalam tempoh 24 jam lepas ialah Perak dan Terengganu yang masing-masing mencatatkan tiga kes manakala Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing dua kes.

Johor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan pula masing-masing merekodkan satu kes baharu hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 22 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat memerlukan bantuan pernafasan.

Sepanjang tempoh 24 jam lepas hingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 81 kes pulih , menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 10,095 kes.

Related posts

Leave a Comment