Ubah portfolio selepas 3 jam

KETUA Menteri Sabah,  Hajiji Mohd Noor mengesahkan perubahan menteri dalam dua portfolio kanan Kabinet Negeri selepas lebih tiga jam Istiadat Angkat Sumpah yang berlangsung di Istana Negeri selesai.

Ia membabitkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Jelas Hajiji, portfolio Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah akan digalas oleh Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah I. manakala Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan dipertanggungjawabkan kepada Masidi Manjun.

Masidi juga sebagai Menteri Kewangan Kedua.

“Saya melantik Masidi akan membantu kewangan terutama sekali untuk memulihkan ekonomi Sabah dan menghadapi pandemik Covid-19,” katanya.

Pengumuman tersebut dibuat dalam sidang media pertama Ketua Menteri Sabah di Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Sementara itu beliau berkata, tiada isu pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati mengenai agihan portfolio Kabinet Negeri Sabah yang baharu.

Katanya, pemimpin parti tersebut memberikan sokongan kepada pembahagian jawatan Kabinet.

Bung Moktar dalam sidang media di kediamannya di Luyang berkata perubahan portfolio itu bukan isu besar, sebaliknya cuma sedikit salah faham antara rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah.

“Perubahan boleh berlaku ikut kesesuaian…tiada masalah,” katanya menjawab ringkas tentang perubahan portfolio menteri dipegangnya.

Beliau berkata kerajaan baharu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah ditubuhkan dengan sebilangan lagi menteri akan dilantik dalam masa terdekat.

“Sekarang kita gembira dan kita adalah sebahagian dalam kerajaan yang telah dibentuk, apa yang penting adalah tanggungjawab kita untuk berkhidmat untuk rakyat, ia adalah fokus utama kita. 

“Kita yakin kita mempunyai cukup jumlah kerusi, dan kita akan bekerjasama dan saya sangat yakin kerajaan baharu Sabah akan bertahan lama,” katanya.

Terdahulu, Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) antara tiga Timbalan Ketua Menteri dalam Kabinet baharu kerajaan pimpinan Hajiji.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamaq itu diletakkan di bawah portfolio Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Masidi yang juga Timbalan Pengerusi Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Kerja Raya Sabah.

(Petikan Astro Awani)

Related posts

Leave a Comment