Situasi ‘hempap’ berbeza

SEBUAH kereta yang dipandu seorang lelaki remuk di bahagian bumbung belakang selepas disyaki dirempuh sebuah kenderaan yang membawa kren di kawasan pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) di Taman Leng Seng, Cheras, malam tadi (20 September 2020).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, laporan awal pegawai penyiasat di tempat kejadian tidak menemui sebarang objek yang disyaki menghempap kenderaan terbabit. 

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan,” katanya kepada Bernama.

Sebelum itu, tular di media sosial bahawa kejadian itu berkaitan dengan pembinaan lebuh raya SUKE. Dakwaan itu menyusul kejadian pertama kelmarin.

Sementara itu, jurucakap Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (PROLINTAS) ketika dihubungi Bernama berkata kerja-kerja pembinaan lebuh raya SUKE dihentikan serta-merta sejak insiden membabitkan kenderaan dipandu seorang wanita dihempap parapet konkrit petang kelmarin.

Jelasnya, laporan awal yang diterima PROLINTAS mendapati kejadian disyaki berlaku membabitkan kemalangan dua kenderaan.

Kejadian itu tular di media sosial malam tadi memaparkan sebuah kereta rosak (gambar bawah) di bahagian bumbung dan pasukan bomba melakukan operasi.

Menerusi video tersebut, mangsa seorang lelaki berusia 50-an dilihat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang Sabtu, seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya SUKE, terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera di bahagian tangan kiri.

Related posts

Leave a Comment