KUALA LUMPUR – Perbuatan mengutuk, menghina dan mencaci bentuk tubuh seseorang adalah satu kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan undang-undang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, undang-undang yang terpakai di Malaysia untuk menangani pelakuan jenayah berkenaan adalah di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, manakala kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil pula, seseorang yang didakwa boleh didenda tidak melebihi RM100,” katanya kepada Sinar Ahad di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pihaknya akan membantu siasatan polis dari segi teknikal berhubung sebarang laporan yang diterima.
“Individu yang menjadi mangsa jenayah body shaming di media sosial perlu membuat laporan polis sebelum merujuk kepada SKMM.
“SKMM akan membantu dari segi siasatan berkaitan teknikal untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, jika ada bukti dan perkara itu disahkan polis, SKMM akan memaklumkan kepada Google dan YouTube berasaskan laporan polis yang diterima sebelum tindakan sekatan akaun dibuat.
“Google berhak dan akan sekat akaun individu terlibat. Ini kerana setiap orang yang menggunakan akaun Google perlu mematuhi terma yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, seorang wanita membuat laporan polis susulan dakwaan seorang influencer menghina bentuk fizikalnya menerusi laman Facebook secara langsung.