Tiada cadangan plat basikal

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) tidak mempunyai rancangan untuk melaksanakan pendaftaran dan pelesenan setiap basikal  serta diletakkan nombor plat seperti  kenderaan bermotor.

Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian, malah cadangan itu juga tidak pernah dibangkitkan kepada beliau.

“Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh MOT bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.

“Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) sebagaimana yang dilaporkan media hari ini tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya mendapat kelulusan menteri,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau

Utusan Malaysia  hari ini 16 September melaporkan setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor, demi menjaga keselamatan penunggang basikal daripada terdedah dengan kemalangan jalan raya,

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MIROS Dr Khairil Anwar Abu Kassim dilaporkan sebagai berkata pihaknya sedang mengkaji keperluan berkenaan yang bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya sekali gus mengambil langkah awal supaya kadar kemalangan maut dapat dikurangkan.

Wee berkata agensi-agensi di bawah MOT perlu membuat kajian menyeluruh atau cadangan untuk analisis dan pertimbangan pengurusan kanan MOT termasuk Pejabat Menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar di bawah bidang kuasa MOT, dan semua pengumuman polisi pramatang adalah dilarang tanpa persetujuan Menteri.

“Dari segi keselamatan penunggang basikal, MOT melalui JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) terus mempromosikan program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal dan persatuan-persatuan yang berkaitan secara berterusan, begitu juga dengan semua pengguna jalan raya lain.

Related posts

Leave a Comment