16 tempatan lima import

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 21 kes jangkitan Covid-19 pada Khamis, 17 September menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan itu sebanyak 10,052 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 16 kes merupakan penularan tempatan membabitkan 15 warganegara dan satu bukan warganegara manakala lima lagi kes import membabitkan rakyat tempatan.

Katanya, sebanyak 15 kes lagi telah pulih dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 9,250 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 674 kes dengan 13 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala dua daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tiada kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhannya kekal sebanyak 128 orang.

Dr Noor Hisham berkata, 15 kes penularan dalam negara melibatkan rakyat tempatan meliputi tujuh di Kedah, lima di Sabah, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Selangor dan Sarawak.

Related posts

Leave a Comment