Pas bukan ‘hotel persinggahan’

KOTA BHARU : Pas bukan ‘hotel persinggahan’. Itu penegasan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang merujuk golongan yang meninggalkan parti itu untuk mengejar sesuatu yang kononnya  menguntungkan mereka ketika melihat Pas sedikit tergugat.

Katanya, Pas tetap kuat dan utuh, walaupun diuji dengan pebagai cabaran termasuk pernah dikhianati mereka yang dahulunya bersama parti itu.

“Mereka jadikan Pas sebagai ‘hotel persinggahan’ kerana mereka mahukan kemenangan mudah, tetapi Pas dengan perjuangan Islam tetap utuh, dan tidak pernah jatuh.

“Pas cukup matang dalam berpolitik, kerana kita pernah ‘bertahaluf’ dengan banyak parti sejak dahulu dan walaupun meninggalkan dan ditinggalkan mereka, kita tetap istiqamah dan terus matang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-66, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa pada Ahad, 13 September.

Muktamar itu berlangsung sehari bermula pagi tadi, dalam keadaan normal baharu dengan kehadiran kira-kira 400 perwakilan, sebagai mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Abdul Hadi mengambil contoh ketika Pilihan Raya Umum 1990, Pas bertahaluf dengan Semangat 46 dan menang di Kelantan, dan kemudiannya parti itu dibubarkan, namun Pas tetap teguh di negeri berkenaan sehinggalah sekarang.

“…kerana perjuangan kita yang istiqamah inilah, kita tetap berdiri dan akhirnya kita merampas Terengganu dan juga bersama Perikatan Nasional di Kedah,” katanya.

Beliau berkata, Pas akan terus menerangkan kepada rakyat di negara ini mengenai perjuangan parti itu, agar rakyat terutama bukan Islam dapat memahami keadaan tersebut dan bukannya membuat tafsiran, yang kononnya Islam adalah kolot.

“Pendekatan ini memerlukan masa dan ia sangat mencabar. Ia agar mereka benar-benar memahaminya,” kata beliau.

Terdahulu semasa ucapan dasar, Abdul Hadi  mahu ahli parti itu mengambil iktibar daripada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dengan mengukuhkan perpaduan bersama gabungan Perikatan Nasional (PN)  sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya hanya perpaduan yang kukuh dapat membentuk kerajaan yang utuh.   

“Kerajaan PN hari ini menyambung suatu wawasan baharu yang sedang diisi dalam  masa  terdekat dan singkat menerusi kerajaan sementara serta bersedia untuk membina sebuah kerajaan yang lebih kukuh melalui demokrasi dan menjadi pilihan rakyat dalam PRU15 kelak,” katanya.

Abdul Hadi berkata  bermula dengan perpaduan bangsa menerusi penubuhan Muafakat Nasional di antara Pas dan UMNO, gabungan kedua-dua parti  itu membuahkan hasil apabila Putrajaya berjaya diambil alih oleh PN. 

“Sekarang kita sudah tangkap ayam yang makan beras padi yang tumpah dahulu, maka jangan diulang lagi dalam PRU15 sehingga ayam pula terlepas, tangan pula berbau tahi,” katanya. 

Bagi memastikan kemenangan, beliau berkata  parti perlu menyediakan barisan calon yang berwibawa bagi memandu masa depan negara yang akan menghadapi cabaran yang lebih besar dan lebih mencabar dari segi politik, ekonomi dan budaya.

Untuk itu, parti perlu menyediakan calon yang mempunyai kepakaran dan latar belakang berbeza serta seimbang, katanya.

Related posts

Leave a Comment