SATU kluster baharu dikenalpasti dalam kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Kunak, Sabah. Kes indeks kluster (iaitu kes ke-9859) adalah seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang dihantar balik ke negara asal iaitu Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos 2020.
Namun demikian, pada 5 September 2020, kes menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga, Filipina melalui jalan tikus untuk melawat isteri kes.
Isteri kes (iaitu kes ke-9860) pula dikesan positif Covid-19 pada 8 September 2020 semasa saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin.
Beliau didapati mula bergejala pada 6 September 2020. Hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif Covid-19 dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (iaitu kes ke-9861 dan kes ke-9862).
Sehingga 12 September 2020, sejumlah 49 telah disaring dalam kluster ini. Kesemua saringan ini melibatkan warganegara Filipina. Daripada jumlah ini:
– 4 kes dikesan positif
– 14 individu negatif; dan
– 31 individu masih menunggu keputusan.
Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti. Punca jangkitan masih dalam siasatan.