Hajiji hadapi tiga penjuru

KETUA Pimpinan Parti Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Nor yang disebut-sebut sebagai bakal Ketua Menteri jika Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri ke-16 berhadapan dua calon lain iaitu dari Warisan dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Pertandingan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (N.12) Sulaman itu menyaksikan Hajiji yang akan mempertahankan kerusi yang dimenangi atas tiket Barisan Basional (BN) dicabar Rekan Hussien (PCS) dan Aliashgar Basri (Warisan).

Pengurus Pilihan Raya (N.12) Sulaman, Soffian Alfian Nair mengumumkan nama-nama calon yang layak bertanding dan tiada pencalonan yang ditolak.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Hajiji yang bertanding atas tiket BN melalui UMNO menang dengan majoriti 7,774 undi menewaskan dua pencabar lain masing-masing dari parti Warisan dan Parti Harapan Rakyat Sabah.

Parlimen Tuaran sebelum ini mempunyai tiga kerusi DUN iaitu N.9 Tamparuli, N.10 Sulaman dan N.11 Kiulu. Selepas persempadanan dilaksana, tambahan satu kerusi DUN bagi N.13 Pantai Dalit.

Selain Sulaman, satu lagi kerusi tumpuan di kawasan Parlimen ini adalah N.15 Kiulu yang ditandingi Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu UPKO, Wilfred Madius Tangau.

Adakah pertembungan tiga penjuru ini memberi kelebihan kepada Hajiji? Adakah ‘pengkhianatan’ terhadap BN akan mempengaruhi pengundi-pengundi yang setia kepada BN?

Related posts

Leave a Comment