447 calon rebut 73 kerusi

TIDAK ada yang menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini dan tidak ada pertembungan satu lawan satu sebaliknya menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru dengan minimum tiga penjuru dan maksimum 11 penjuru. Saingan lima, enam dan tujuh penjuru menjadi ciri umum PRN kali ini.

Lebih menarik apabila Barisan Nasional (BN) akan bertembung dengan sekutunya, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di 17 daripada jumlah 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Kerusi tersebut adalah Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan and Tanjung Aru. Sebilangan besar kawasan pilihan raya tersebut terletak di pedalaman, tengah dan bahagian utara Sabah.

Mereka bukan sahaja bersemuka antara satu sama lain, malah mempunyai calon daripada gabungan  Warisan Plus iaitu terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP dan Amanah serta beberapa parti lain dan calon Bebas.

Pada PRN kali ini, BN terdiri daripada UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sementara sekutunya PN terdiri daripada Bersatu, STAR Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP) bersama PBS.

Di samping 17 kerusi tersebut, pertarungan sengit  dijangka berlaku di kerusi DUN Api-Api dengan penyandang Timbalan Ketua Menteri dan Pengerusi PKR Sabah Christina Liew dicabar oleh barisan pemimpin parti dan calon berwibawa dalam saingan sembilan penjuru.

Antara pencabar utama termasuk Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) Chin Su Phin, bekas ADUN dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah, Dr Yee Moh Chai dan Timbalan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Pang Yuk Ming dan peguam terkenal Marcel Jude iaitu calon Bebas.

Satu lagi kerusi ‘panas’ melibatkan penyandang kerusi DUN Sulaman selama enam penggal, Hajiji Noor, iaitu pengerusi Bersatu Sabah yang akan dicabar oleh anak saudaranya Aliasgar Basri mewakili Warisan.

Aliasgar merupakan timbalan ketua kepada Hajiji semasa mereka menganggotai UMNO Bahagian Tuaran. Calon PCS Rekan Hussien turut menyertai saingan tiga penjuru bagi kawasan pilihan raya itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Hajiji, yang bertanding di atas tiket BN menang dengan majoriti 7,774 undi menewaskan dua pencabar lain masing-masing daripada parti Warisan dan Parti Harapan Rakyat Sabah.

PCS yang diterajui bekas Menteri Luar, Anifah Aman, akan bertanding di kesemua 73 kerusi dikuti Warisan (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), LDP (46), BN (41) dan 29 kerusi oleh PN.

Pencabar utama lain ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23), PBS (22), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (12) manakala PKR dan parti lain bertanding kerusi angka satu digit.

PRN kali ini menyaksikan 56 calon Bebas dan hanya seorang calon ditolak daripada UPKO kerana tidak layak disebabkan muflis.

Seramai 404 calon lelaki dan 43 wanita bertanding pada PRN Sabah kali ini.

Related posts

Leave a Comment