Rais YDP Dewan Negara ke-18

BEKAS Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dr. Rais Yatim (Bersatu) dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 hari ini, 2 September 2020.

Rais, 78, merupakan antara tiga calon yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu selain Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR) dan Senator Theodore Douglas Lind (Warisan).

Bagaimanapun, Theodore menarik diri pada saat akhir.

Pemilihan Yang Dipertua Dewan Negara baharu dibuat bagi menggantikan SA Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lepas, dilakukan menerusi undi bersurat.

Keputusan undian itu menyaksikan Rais memperoleh 45 undi manakala Mohd Yusmadi 19 undi dan seorang tidak hadir.

Persidangan kali ini yang akan berlangsung sehingga 23 September ini

dijangka membahaskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) yang telah diluluskan Dewan Rakyat yang bersidang sebelum ini.

Ia termasuk tiga rang undang-undang berkaitan pandemik COVID-19 iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 dan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020.

Related posts

Leave a Comment