Ujian ART dorong lonjakan kes

BERAKAS 20 Feb. – Peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang mendadak sejak beberapa hari lalu di Brunei Darussalam adalah disebabkan oleh ‘backlog’ sehari sebelumnya memandangkan terdapat ramai yang menjalani ujian Swab.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, peningkatan juga disebabkan pemahaman orang ramai mengenai Ujian Pantas Antigen (ART) serta sikap peduli dan bertanggungjawab mereka menjalankan ujian tanpa menunggu simptom.

“Menerusi tindakan ini, kita dapat mengesan kes-kes positif lebih awal dan cepat,” katanya pada sidang media petang semalam.

Selama tiga hari berturut-turut, Brunei Darussalam merekodkan kes jangkitan melebihi 1,000 kes bermula 17 Februari dengan merekodkan 2,015 diikuti 2,988 pada hari berikutnya dan semalam 1,926.

Beliau berkata, ART dijangka menjadi kaedah utama dalam mengawal penularan jangkitan Covid-19 dan masyarakat telah menerima ART sebagai kaedah yang lebih mudah, cepat dan ia juga mudah diperoleh.

Kementerian Kesihatan setakat ini memberikan Kit ART secara percuma kepada kes-kes positif dan kontak-kontak terdekat bagi menjalani pemeriksaan pada hari-hari yang telah ditentukan.

Kit ART hanya diberikan secara percuma kepada mereka yang memerlukan sahaja memandangkan penularan di luar (negara) masih berlaku dan jumlah Kit ART juga adalah terhad.

Mengenai sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-38 minggu depan, beliau menjelaskan bahawa kawasan di mana sambutan itu dijalankan akan dikawal oleh pihak-pihak tertentu.

Katanya, hanya mereka yang mempunyai Kod Hijau atau Kuning dalam aplikasi BruHealth sahaja dibenarkan masuk ke kawasan tersebut dan mereka juga perlu menjalani ujian ART di tempat-tempat yang telah dikhaskan.

Beliau juga meminta para peserta dan orang ramai untuk menjalankan tanggungjawab sosial dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan semasa acara berlangsung.

Related posts

Leave a Comment