Satu lagi kematian Covid-19

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian pesakit Covid-19 dicatat hari ini, 31 Ogos 2020 menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu, meningkat kepada angka 127.

Ia merupakan kematian kedua dicatatkan bulan ini, selepas kematian terakhir direkodkan pada 31 Julai, 2020. Semalam, satu kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan  berkata, sebanyak enam kes baharu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes kebolehjangkitan sebanyak 159 kes, dan jumlah kumulatif menjadi 9,340 kes.

Kes kematian ke-127 (kes ke-9124) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 13 Ogos 2020 dalam Kluster Tawar. Beliau mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos 2020 setelah didapati positif Covid-19.

Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos 2020 pukul 10.35 malam.

Sementara itu sebanyak enam pesakit telah dibenarkan pulang, manakala jumlah pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak enam orang.

Daripada jumlah tersebut, empat pesakit sedang diberi bantuan pernafasan.

Mengenai enam kes baharu itu, Dr Noor Hisham berkata, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan Singapura iaitu dua warganegara Malaysia, dan dua bukan warganegara.

Empat (4) kes import ini telah dilaporkan di negeri Selangor. Dua kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia dari negeri Kedah, iaitu satu kes daripada Kluster Tawar, dan satu kes daripada Kluster Telaga.

Related posts

Leave a Comment