10 kes : 8 import 2 tempatan

PUTRAJAYA: Sepuluh kes baharu positif Covid-19 dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari 28 Ogos 2020, yang melibatkan lapan kes import dan dua kes penularan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 9,306 kes di mana jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 151 kes.

“Daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, lapan (8) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara satu (1) warganegara Malaysia dan tujuh (7) bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi dua kes penularan dalam negara pula melibatkan seorang rakyat tempatan dan seorang lagi bukan warganegara.

“Kes warganegara Malaysia yang dikesan di negeri Kedah adalah daripada saringan bergejala. Manakala kes bukan warganegara yang dikesan di negeri Selangor adalah kes saringan tahanan yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil,” jelas beliau.

Setakat ini lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kes kematian baharu dilaporkan dan setakat ini jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes bersamaan 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu daripada 106,793 individu yang tiba di negara Ini melalui pintu masuk antarabangsa sehingga semalam, 904 dikesan positif Covid-19, dengan kes dari Indonesia merekodkan bilangan tertinggi.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 295 kes (32.6 peratus) dari Indonesia diikuti Mesir (93 kes) atau 10.3 peratus dan Singapura (70 kes) atau 7.7 peratus.

Malaysia akan terus memperketatkan aktiviti kesihatan awam di pintu masuk antarabangsa negara bagi memastikan jangkitan Covid-19 dari luar negara dapat disekat.

Katanya, semua individu yang tiba di negara ini perlu menjalani saringan kesihatan, pengambilan ujian swab dan memuat turun aplikasi MySejahtera selain menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin.

Related posts

Leave a Comment