16.08.2020 : Sebanyak 25 kes baharu Covid-19 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini melibatkan 16 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 9,200 kes.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 216 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Katanya, kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan 11 warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara.
Sembilan kes penularan dalam negara pula melibatkan tujuh warganegara tempatan dan dua bukan warganegara.
Enam daripadanya dari Kluster Tawar iaitu lima kes di Kedah dan satu kes di Pulau Pinang. Manakala satu lagi kes membabitkan saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah.
Manakala dua kes jangkitan bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tular di laman sosial sejak semalam.
Terdapat dua kes jangkitan dalam negara yang dikesan dalam kalangan bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kedua-dua kes ini adalah saringan rawak di tempat kerja oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang melibatkan pekerja kedai makan.
“Telah tular di media sosial notis penutupan kedai makan tersebut dan menimbulkan sedikit keresahan pelanggan. Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan pengesanan kes secara aktif di mana siasatan lanjut dan persampelan akan diambil. Kedai makan tersebut telah ditutup buat sementara waktu bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman,” jelas Dr Noor Hisham.
Sehingga kini, 28 kes yang telah pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 8,859 kes bersamaan 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Tujuh kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala dua kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Bagaimanapun tiada pertambahan kes kematian dilaporkan sehingga Ahad menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 kekal 125 kes.