SOP: Taman awam ditutup

GAGAL patuh prosedur operasi standard (SOP), Taman Awam Vision, Kepala Batas yang menjadi tumpuan ramai untuk beriadah, diarahkan tutup selama tujuh hari.

Arahan itu dibuat selepas operasi bersepadu mendapati pihak pengurusannya gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Operasi Bersepadu oleh pihak polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu dibuat bermula pukul 5 petang selepas menerima maklumat kehadiran orang ramai di taman tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor dalam kenyataan malam ini berkata pihak KKM mengeluarkan notis arahan penutupan itu kerana pengurusannya tidak mengawal jumlah pengunjung yang hadir.

Pihaknya turut mengeluarkan kompaun masing-masing RM1,000 terhadap dua peniaga yang berniaga di kawasan taman itu kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk tiada penjarakan fizikal dalam kalangan pelanggan mereka.

Beliau mengingatkan bahawa pihak polis  akan meneruskan operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Related posts

Leave a Comment