BERAKHIRKAH polemik Tabung Haji (TH) apabila dua ‘watak utama’ isu TH bersemuka di satu pentas dalam program anjuran Sinar Harian pada Jumaat, 14 Ogos ini? Semalam di Parlimen dua watak itu, Mujahid Yusof dan Azeez Rahim ‘bertikam lidah’ berhubung isu TH.
Sebelum ini pun, kedua-dua watak ini, Mujahid sebagai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjaga TH dan Azeez bekas Pengerusi TH sering ‘bertekak’ di Parlimen apabila timbul isu berkaitan. Dan kali ini mereka bersemuka di pentas yang sama.
Masing-masing pasti akan mempertahankan ‘kebenaran’ berasaskan pengalaman dan penglibatan mereka sepanjang ‘bersama’ TH.
Diharapkan mereka berhujah berasaskan fakta yang boleh meyakinkan supaya rakyat khususnya pendeposit TH mendapat pencerahan yang memuaskan, bukan lagi mencari siapa yang benar dan siapa yang salah.
Dengan meletakkan sentimen politik di sebelah, biarlah isu ini ditamatkan dengan baik. Pada masa yang sama, jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelbagai isu yang dikaitkan dengan TH, lakukanlah. Biar semua berpuas hati.
Adalah wajar dipertimbangkan jika RCI mampu merungkai segala polemik atau permasalahan dan pertikaian. Amat malang jika TH terus dijadikan mangsa pertikaian politik.
Orang politik boleh terus berpolitik tetapi jangan mengheret institusi seperti TH ke dalam kancah politik. Orang politik diamanahkan (bukan parti Amanah) untuk membantu menggerakkan institusi supaya perjalanannya dalam keadaan baik serta memberi pulangan yang baik.
Pendeposit mahu institusi itu terus kukuh, perusahaan atau pelaburannya berjaya dan terjaga.
Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Dewan Rakyat kelmarin:
“Ingin saya tegaskan bahawa segala yang dilakukan kerajaan adalah dengan niat suci untuk mencari titik penyelesaian yang boleh diterima semua pihak, selain paling penting, untuk pastikan semua urus tadbir TH menepati kepentingannya sebagai institusi milik umat Islam di negara ini,”
Ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat,, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan teliti dan nilai semua transaksi yang dibuat TH.
“Baik yang dibuat sebelum ini atau akan datang. Fokus kerajaan ialah pastikan semua operasi pelaburan TH dijalankan dengan penuh integriti dan beramanah, selari matlamat serta hasrat penubuhannya,” katanya