Dua hari Thailand tanpa kes

INDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes apabila 1,693 jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 128,776 kes.

Berdasarkan data di laman web rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, hari ini, sejumlah 85,928 pesakit masih dalam pemantauan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 59 lagi kematian berlaku menjadikan jumlah korban meningkat kepada 5,824 orang.

Jakarta mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 26,624 kes, diikuti Jawa Timur (25,917) dan selebihnya di wilayah lain.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 1,915 orang, diikuti Jakarta (944), Jawa Tengah (731), Sulawesi Selatan (337) dan selebihnya di wilayah lain.

SINGAPURA melaporkan 61 kes baharu jangkitan Covid-19 bagi tempoh 24 jam, termasuk tiga kes import. Ini menjadikan jumlah jangkitan kini 55,353.

Kesemua kes import dikenakan Notis Tinggal di Rumah.

Data ringkas Kementerian Kesihatan Singapura menunjukkan terdapat dua kes dalam komuniti yang kedua-duanya warga Singapura.

Majoriti kes masih melibatkan pemegang permit kerja yang kini menjalani kuarantin.

Dalam data lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 760 kes yang dilaporkan sebagai import, 2,193 dalam komuniti dan 52,339 kes melibatkan penghuni asrama.

Sejumlah 49,609 pesakit atau 90 peratus daripada jumlah kes terkumpul telah pulih sepenuhnya sementara 112 kes masih berada di hospital.

THAILAND buat hari kedua tidak merekodkan sebarang kes sama ada penularan tempatan atau import. Ini bermakna jumlah kes kekal 3,351.

Tiada kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah yang meninggal dunia kekal 58 manakala 130 pesakit masih menerima rawatan di hospital.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), sebanyak 367 orang dijangka tiba di negara itu dari Amerika Syarikat melalui Taiwan dan Hong Kong dan juga dari Jerman. Pada Rabu, 123 orang akan tiba dari Korea. Semua ketibaan akan menjalani ujian dan dikuarantin.

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 11 Ogos 2020, merekodkan 2,987 kes baharu Covid-19 yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes 139,538.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga mengumumkan 19 lagi kematian yang menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia sebanyak 2,312.

Pada masa yang sama, sebanyak 280 pesakit sembuh dan ini menambah jumlah   keseluruhan kes pulih sepenuhnya kepada 68,432.

Jumlah kes aktif pula adalah 68,794.

Related posts

Leave a Comment