Niat baik tapi maklumat palsu

GARA-GARA sebar maklumat palsu berkaitan penularan wabak Covid-19, seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan polis kononnya sebuah pasar raya di Bandar Sunway, Seberang Jaya, Seberang Perai ditutup berikutan seorang pesakit positif virus itu telah ke sana semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata peniaga berusia 33 tahun itu ditahan semalam selepas pihak polis menerima laporan daripada pengurus pasar raya itu yang memaklumkan terdapat mesej tular di laman Facebook berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata status itu telah dikongsi oleh warganet dan sampai ke pengetahuan pihak pengurusan pasar raya, namun sebenarnya mesej itu tidak benar, malah kenyataan berkenaan penutupan premis itu untuk tujuan sanitasi juga tidak betul. 

“Perkara itu menyebabkan pengurusan pasar raya tidak berpuas hati serta menganggap ia fitnah sebelum bertindak membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita itu dipercayai telah memuat naik hantaran di Facebooknya iaitu, ‘Suspek di Flat Tuna dah confirmed (sah) positif. Dia ada shopping (beli belah) ke Billion Bandar Sunway. Hari ni Billion ditutup untuk sanitasi hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan’.

Shafee berkata wanita itu mengaku memuat naik hantaran tersebut di Facebooknya selepas mengambil maklumat itu daripada kumpulan WhatsApp sekolah anaknya dengan tujuan untuk memberi peringatan kepada rakan Facebook yang lain, dan tiada niat untuk mengaibkan pihak pasar raya berkenaan.

Beliau berkata bagaimanapun, wanita itu tidak membuat semakan berhubung kesahihan maklumat terlebih dahulu sebaliknya terus memuat naik hantaran di Facebook miliknya.

Menurutnya polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes itu disiasat menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).

Related posts

Leave a Comment