Kesan kunjung mengunjung

PUTRAJAYA : Tiga lagi kes positif dikesan dalam kluster Kurau yang dikenal pasti melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kepada kes positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Mereka merupakan ahli keluarga kes pertama kluster ini (kes 9050), iaitu adik, biras dan anak saudara beliau yang berumur dua tahun.

Setakat ini kluster itu melibatkan dua negeri iaitu Perak dan Pulau Pinang.

Kes pertama mempunyai kontak rapat dengan semua kes baharu ini semasa aktiviti kunjung-mengunjung menjelang Aidiladha iaitu pada 30 Julai lepas.

Setakat ini, seramai 125 orang telah disaring dalam kluster yang melibatkan Perak dan Pulau Pinang itu. Daripada jumlah ini, lima kes positif, 112 negatif manakala lapan masih menunggu keputusan.

Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan serta punca jangkitan masih dalam siasatan.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan yang dijalankan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan juga saringan ke atas kontak rapat kes, mendapati penularan Covid-19 dalam kluster Sivagangga dan kluster Kurau sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan. 

Dua kluster ini didapati mencatat pertambahan kes sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas musim perayaan.

Kebanyakan kes positif kedua-dua kluster ini adalah terdiri daripada ahli keluarga. Golongan warga emas dan juga kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga 70 tahun turut termasuk dalam kes ini. 

Beliau berkata walaupun aktiviti kunjung-mengunjung kini dibenarkan, ia masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Penjarakan fizikal yang selamat sesama individu sewajarnya diamalkan di semua tempat termasuk antara ahli keluarga dan sanak saudara. Individu yang tidak sihat atau bergejala tidak sepatutnya mengunjungi atau menyertai sebarang kenduri-kendara dan sambutan perayaan.

Related posts

Leave a Comment