Kes di Indonesia meningkat

SINGAPURA mencatatkan 175 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan tiga kes import. 

Data ringkas Kementerian Kesihatan (MOH) menunjukkan kesemua kes import itu telah diserahkan notis kuarantin di rumah sebaik sahaja tiba di Singapura. 

MOH juga mendapati hanya satu kes dalam komuniti melibatkan seorang rakyat Singapura sementara majoriti kes adalah pemegang permit kerja yang kini dalam kuarantin dan pekerja yang disaring pada hari-hari sebelumnya. 

Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan mencecah 55,104.  

Dalam data lewat semalam, MOH mengklasifikasikan 745 kes sebagai kes import, 2,191 kes komuniti dan 51,993 kes penghuni asrama. 

Sebanyak 48,583 pesakit atau 88 peratus sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan manakala 145 kes masih di hospital, kebanyakan stabil.

THAILAND merekodkan tiga kes baharu Covid-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan ialah 3,351 kes dengan 58 kematian.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam satu kenyataan memaklumkan kes baharu itu termasuk dua warga asing iaitu seorang lelaki Bangladesh berusia 31 tahun dan wanita India berusia 41 tahun.

Satu lagi kes baharu membabitkan wanita Thailand berusia 30 tahun yang kembali dari Amerika Syarikat.Mereka kini menjalani kuarantin wajib .

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam memberitahu kesemua 2,582 pengunjung yang menghadiri konsert Janey Daimodthasodchuen pada Pesta Amal Palang Merah di wilayah selatan Nakhon Si Thammarat pada 25 Julai lepas, didapati negatif Covid-19.

Konsert yang penuh sesak itu menimbulkan kemarahan orang ramai kerana peminat gagal menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka. Penganjur kemudian didakwa kerana melanggar perintah darurat.

INDONESIA merekodkan 1,893 kes baharu Covid-19 hari ini, Ahad, 9 Ogos menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 125,396 kes.

Jakarta merekodkan kes tertinggi iaitu 440 menjadikan 25,727 kes manakala Jawa Timur 408 kes dan Jawa Barat 179 kes.

Menurut data yang dimuat naik di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, jumlah kematian pula meningkat kepada 5,723 apabila 65 lagi meninggal dunia.

Bagi kes sembuh pula, sebanyak 1,646 pesakit dilaporkan sembuh yang membawa jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 80, 952 kes.

Jakarta mencatatkan kes sembuh yang tinggi iaitu 558 menjadikan 16,268 diikuti Jawa Timur dengan 365 kes menjadikan 18,050 kes.

Related posts

Leave a Comment