Buka ‘pintu’ ketika ‘import’ naik

THAILAND terus mencatatkan kes import menjelang pembukaan semula pintunya mulai 1 Ogos kepada lebih ramai warga asing termasuk pekerja migran dari negara jiran – Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam, dalam sektor infrastruktur dan industri makanan.

Buat hari ke 67, tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan manakala enam kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam melibatkan warga Thailand yang kembali dari luar negara baru-baru ini, menjadikan jumlah jangkitan kini kepada 3,310 kes.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada enam lelaki itu, lima adalah pelajar di mana empat pulang dari Mesir pada 22 Julai manakala seorang lagi tiba semalam, juga dari Mesir.

Beliau berkata kes keenam merupakan tukang masak kapal persiaran warga Thailand berusia 52 tahun yang diuji positif ketika kembali dari Belanda.

Sejak wabak bermula pada Januari, Thailand merekodkan 3,310 kes dengan 58 kematian. Sehingga kini, 3,125 telah pulih sementara 127 yang lain masih dirawat,” katanya pada taklimat harian Covid-19.

Thailand akan membuka sempadannya kepada lebih banyak warga asing mulai 1 Ogos termasuk pelancong perubatan, peserta persidangan dan pameran perdagangan antarabangsa, serta kru produksi filem asing dan pemegang kad Thailand Elite (mereka yang mempunyai visa kediaman jangka panjang dan visa kediaman pelbagai kemasukan).

Semua warga asing yang memasuki negara itu perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di kemudahan yang disediakan kerajaan. Majikan pekerja migran mesti menyediakan kemudahan kuarantin di tempat kerja.

Related posts

Leave a Comment