13 kes : 8 import 5 tempatan

PUTRAJAYA: Lapan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan lima tempatan dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 8,956 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 13 kes baharu itu, lapan kes import melibatkan empat rakyat Malaysia dan empat bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Kes import itu dari United Kingdom (dua kes di Kuala Lumpur), India (dua kes di Kuala Lumpur), Filipina (satu kes di Kuala Lumpur), Pakistan (satu kes di Kuala Lumpur), Gambia dan Ukraine masing-masing satu kes di Selangor.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 220 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada lima kes penularan di dalam negara, ia melibatkan tiga kes dalam kalangan warganegara, iaitu di Johor yang berkaitan satu kes saringan di tempat kerja, di Sarawak (satu kes Kluster Sentosa) dan Sabah (satu kes saringan bergejala di Hospital Queen Elizabeth).

Dua kes bukan warganegara melibatkan satu kes Kluster Mambong di Sarawak dan satu kes saringan pendatang tanpa izin di Perlis.

Mengenai status terkini Kluster Mambong dan Kluster Sentosa di Sarawak, beliau berkata  setakat pukul 12 tengah hari ini, 198 orang disaring di dalam Kluster Mambong melibatkan 188 warganegara dan 10 bukan warganegara.

Daripada jumlah itu, tujuh dikesan positif dengan dua kes terdiri daripada bukan warganegara, dan sehingga kini 191 didapati negatif.

Bagi Kluster Sentosa, 1,026 orang disaring dengan 31 dikesan positif Covid-19, 888 negatif dan 107 masih menunggu keputusan.

Kluster ini telah melibatkan kes sehingga generasi kedua. Punca jangkitan masih di dalam siasatan, namun, hasil siasatan awal mendapati bahawa kemungkinan besar punca adalah daripada aktiviti di dalam komuniti.

Selain itu, terdapat lima kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 8,612 kes atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hanya dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pertambahan kes kematian.

Related posts

Leave a Comment