23 kes : 17 tempatan 6 import

PUTRAJAYA :  Semakin meningkat. Semalam 21, hari ini 23.:Dengan perkembangan ini, kes jangkitan Covid-19 di dalam negara meningkat kepada 8,884 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 167 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam adalah kes import melibatkan empat warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Kes import tersebut mekibatkan tiga dari Singapura dan masing-masing satu dari Indonesia, Filipina dan Rusia.

Dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham berkata penularan dalam negara pula mencatatkan 17 kes dengan 10 adalah dalam kalangan warga Malaysia sementara tujuh melibatkan warga asing.

Tujuh  kes dalam kalangan warga asing melibatkan satu kes saringan selepas bersalin di Kuala Lumpur, iaitu seorang tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil. Dia tidak bergejala dan sedang dirawat di Hospital Serdang.

Dr Noor Hisham berkata dua kes dilaporkan di Selangor iaitu masing-masing satu daripada Kluster Rumah Kongsi Sepang dan saringan di tempat kerja.

Empat kes direkodkan di Johor iaitu satu kes masing-masing daripada Kluster Warga Emas Kluang dan saringan sebelum masuk kerja manakala dua kes daripada Kluster Bukit Tiram.

Beliau berkata 10 kes penularan Covid-19 dalam negara melibatkan warga Malaysia merangkumi satu kes masing-masing daripada Kluster Warga Emas Kluang dan kes saringan tempat kerja di Johor, serta lapan lagi di Sarawak. 

Lapan kes di Sarawak melibatkan empat daripada Kluster Sentosa dan satu kes masing-masing direkodkan daripada Kluster kejuruteraan Kuching, syarikat pembinaan Kuching, saringan tempat kerja dan saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang yang mana individu tersebut tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Sebanyak  17 kes telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,594 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, hanya tiga kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal sebanyak 123 kes apabila tiada kematian baharu dilaporkan.

Related posts

Leave a Comment