Kempen Elak Sembang Dekat

KETIKA penjarakan sosial semakin longgar atau mula diabaikan, Kempen Elak Sembang Dekat diharap dapat menyedarkan masyarakat supaya tidak memandang remeh Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menangani wabak Covid-19.

Sama ada sedar atau tidak, SOP seperti penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka diabaikan di tempat tertentu terutama kawasan tumpuan ramai seperti pusat membeli belah, restoran, pasar malahan ketika beratur ke masjid pada hari Jumaat..

Itu belum lagi syarat membaca suhu badan yang di sesetengah tempat tidak lagi dipedulikan.  Alat itu ada tetapi tinggal sebagai syarat. Tidak mengapa tetapi jangan diabaikan pelitup muka dan penjarakan sosial.

Orang kita sentiasa perlu diperingatkan kerana sikap mudah lupa, mudah selesa dan mudah menganggap diri kebal serta meletakkan peraturan atau undang-undang ke tepi.

Kadang-kadang peraturan yang dianggap mudah dan remeh itulah yang penting bagi mengelakkan penularan wabak.

Justeru, tumpuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan perhatian kepada kempen ‘Elak Sembang Dekat’ dalam usaha mengekang gelombang kedua wabak Covid-19 itu amat dialu-alukan.

Langkah itu sebagai proses mendidik dan mengingatkan langkah-langkah pencegahan dalam kalangan rakyat.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.berkata, salah satu teguran untuk kita mengelak Covid-19 ialah sembang jarak dekat kerana penjarakan selamat untuk droplet atau titisan sampai ke individu lain ialah lebih kurang satu meter.

Sekiranya terlalu dekat, titisan tidak dapat disekat dan akan sampai ke tubuh orang lain dengan lebih mudah dan pantas (dan membimbangkan) lebih-lebih lagi mereka yang bergejala.

“Kini, sembang dekat menyebabkan banyak berlaku gelombang kedua penularan Covid-19 di dunia,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar, semalam, Sabtu.

Diharapkan orang ramai dapat dididik untuk mengikuti SOP supaya mereka menyedari kepentingan penjarakan sosial dan perkara berkaitan dengannya.

Di restoran, misalnya banyak pelayan memakai mask atau pelitup muka di dagu dan ketika mengambil pesanan mereka berkemungkinan menyebarkan titisan. Begitu juga apabila berbual dalam jarak dekat.

Apa yang penting sekarang, norma baharu kehidupan perlu diterapkan.

Related posts

Leave a Comment