Tabligh kandas di India pulang

WISMA Putra dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di India akan terus menyelaraskan usaha bagi membawa pulang baki jemaah tabligh yang masih berada di India secara berperingkat.

Menteri Luar Hishammuddin Tun Hussein berkata, maklumat mengenai misi bawa pulang jemaah tabligh seterusnya akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya berhubung kepulangan 62 jemaah tabligh awal pagi ini Sabtu, 18 Julai setelah terkandas di India sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19. Tidak dinyatakan jumlah yang masih terkandas.

Jemaah itu antara 96 rakyat Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat sewa khas yang diselaraskan oleh Kementerian Luar.

Menurut Hishammuddin, kesemua jemaah tabligh itu ditahan oleh pihak berkuasa India atas tuduhan penyalahgunaan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

Walau bagaimanapun, sebahagian besar telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan India kerana memberi kerjasama sepenuhnya kepada Malaysia dalam usaha membantu mereka yang terkandas.

Hishammuddin turut berterima kasih kepada seluruh ahli keluarga jemaah tabligh berkenaan kerana sabar menunggu isu tersebut diselesaikan.

“Saya faham, ramai yang ingin tahu perkembangan dan kesudahan isu ini sejak ia tular namun masyarakat perlu faham bahawa jemaah tabligh berkenaan telah melanggar undang-undang Kerajaan India.

“Kerajaan Malaysia berdepan beberapa kekangan dalam usaha menyelesaikan proses diplomasi dan rundingan namun kita bersyukur kerana isu ini akhirnya dapat diselesaikan,” katanya.

Kesemua 96 rakyat Malaysia termasuk jemaah tabligh perlu menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari di dua pusat kuarantin iaitu Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) serta Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Related posts

Leave a Comment