Zuraidah belum sertai Bersatu

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengesahkan beliau dan 10 ahli Parlimen yang bertindak keluar PKR sebelum ini masih belum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya, mereka menggunakan label Bersatu atas alasan strategik dalam platform di Dewan Rakyat dan secara teknikal mereka belum menyertai Bersatu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, beliau masih menunggu Bersatu untuk mengadakan pemilihan parti dan mesyuarat agung tahunan (AGM) memandangkan terdapat beberapa pindaan perlembagaan dalam parti tersebut.

Beliau juga menegaskan yang mereka menunggu masa yang sesuai untuk menyerahkan borang keahlian.

Ditanya sama ada, mereka akan menubuhkan parti baharu atau sebaliknya, beliau berkata, perkara tersebut tidak praktikal ketika berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Selain Zuraida, mereka yang turut meninggalkan PKR adalah Mohamed Azmin Ali (Gombak), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr. Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau)

Zuraida sebelum itu mewakili anggota Parlimen Perikatan Nasional menzahirkan ucapan tahniah dan syabas atas pelantikan  Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,  wanita pertama di dalam negara yang dilantik untuk menduduki jawatan berkenaan.

Katanya pelantikan yang penuh bersejarah ini merupakan satu langkah yang bermakna dan dilihat positif buat negara, khususnya dalam memperkasa peranan wanita di peringkat tertinggi, terutamanya dalam urusan sebagai pembuat keputusan demi kebaikan rakyat dan negara.

Related posts

Leave a Comment