Jumaat tiga sesi di Singapura

MULAI 17 Julai ini, sebanyak 47 masjid di Singapura akan menambah satu lagi sesi solat Jumaat , menjadikan tiga sesi sementara 17 masjid lagi kekal dengan dua sesi.

Setiap sesi masih terhad kepada 50 jemaah,  dan perlu membuat tempahan  di https://ourmosques.commonspaces.sg atau melalui aplikasi MuslimSG.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melalui facebooknya kelmarin berharap tambahan itu dapat meningkatkan ruang untuk solat Jumaat.

Tambahan itu susulan pemantauan yang dibuat sejak solat Jumaat pada 26 Jun lalu dengan pelaksanaan langkah-langkah Pengurusan Selamat.

“Selama tiga minggu ini, kami telah melihat solat jemaah yang sangat lancar dan teratur di masjid-masjid,” kata MUIS.

Untuk solat Jumaat yang akan datang iaitu pada 17 Julai, jemaah boleh membuat tempahan pada Selasa, 14 Julai, mulai pukul 10 pagi.

Bagi membolehkan seramai mungkin masyarakat mempunyai akses kepada slot solat Jumaat, mereka yang mendapat slot untuk sesi solat Jumaat pertama (26 Jun, 3 Julai dan 10 Julai) tidak layak untuk mendaftar.

“Kami akan menyemak garis panduan ini apabila kami dapat menawarkan lebih banyak slot dalam minggu seterusnya sekiranya situasi kebangsaan meningkat,” kata MUIS.

Sesi solat Jumaat ketika ini berlangsung pada pukul 1 dan 2 petang manakala sesi ketiga pukul 3 petang.

MUIS juga mengingatkan masyarakat agar kekal berhati-hati kerana risiko Covid-19 masih ada dengan mengamalkan tabiat yang baik seperti Salam Mufti, memakai topeng dan mengekalkan kebersihan.

Majlis itu merujuk kejadian di Masjid Al Ansar baru-baru ini, apabila seorang jemaah yang tidak mempunyai petanda penyakit kemudian didapati menghidap Covid-19.

Related posts

Leave a Comment