Lima kes import di Thailand

THAILAND untuk hari ke-40 tidak mempunyai jangkitan tempatan dan sifar kematian sebaliknya mencatatkan lima kes baharu Covid-19, kesemuanya melibatkan rakyat negara itu yang kembali dari luar negara.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), setakat ini Thailand merekodkan 3,185 kes dengan 58 kematian.

Lima pesakit baharu itu terdiri daripada tiga pelajar lelaki yang pulang dari Sudan, seorang ahli terapi urutan lelaki yang tiba dari Kuwait dan seorang guru wanita yang kembali dari United Kingdom.  

Sementara itu, media tempatan melaporkan Thailand dijangka membuka sempadan kepada pelancong asing seawal-awalnya dalam bulan Ogos. 

SINGAPURA melaporkan 185 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan sembilan kes dalam komuniti menjadikan jumlahnya 44,664 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), kes komuniti melibatkan empat rakyat Singapura atau penduduk tetap dan lima pemegang pas pekerja.

Sebagai tambahan, terdapat satu kes import membabitkan penduduk tetap Singapura yang ditempatkan di bawah Notis Duduk Rumah sebaik tiba di negara ini.

Setakat tengah hari semalam, 39,769 atau kira-kira 89 peratus pesakit telah sembuh dan terdapat 223 kes disahkan masih berada di hospital semalam, 3 Julai dengan satu dirawat di unit rawatan rapi. Jumlah kematian pula 26.

INDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes apabila 1,447 lagi jangkitan direkodkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 62,142 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 53 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut kini 3,089 orang.

Ketika ini 14,205 pesakit dalam pemantauan Covid-19.

Sementara itu Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 996 kes, diikuti Jakarta (643 kes), Kalimantan Selatan (198) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

FILIPINA mengesahkan 1,494 lagi kes jangkitan Covid-19 hari ini, 4 Julai 2020 yang meliputi 403 kes terkini dan 1,091 kes lewat. Kes terkini berdasarkan laporan pencapaian harian yang dihantar oleh 60 daripada 73 makmal.

Menurut Jabatan Kesihatan (DOH), pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 41,830.

Sebanyak 380 kes pulih yang membawa jumlah keseluruhan pesakit sembuh meningkat kepada 11,453.

DOH juga mengumumkan 10 kematian menjadikan jumlah korban 1,290.

Related posts

Leave a Comment