Selesema babi pula muncul?

KETIKA dunia masih bergelut dengan Covid-19, timbul pula ancaman H1N1 atau selesema babi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula mengesan wabak ini dan mengkaji mengenai virus berkenaan.

WHO kini mengambil langkah menyelaras kerjasama dengan pihak berkuasa China untuk membuat penilaian lebih teratur mengenai strain baharu selesema babi (H1N1) yang dilaporkan merebak dalam kalangan pekerja ladang babi di China.

“Kami sedang bersiap sedia menghadapi jangkitan influenza, lanjutan kepada Covid-19 ini,” kata Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai.

Bercakap kepada pemberita pada taklimat media secara maya bersama Forum Ekonomi Dunia-Wilayah Pasifik Barat WHO pada 1 Julai, beliau berkata maklumat semasa yang dimiliki WHO berhubung virus baharu itu tidak mencukupi bagi membolehkan mereka mengambil tindakan lanjut.

Sekumpulan saintis dalam kajian mereka berkata, strain baharu H1N1 virus selesema babi sedang merebak secara beransur dalam kalangan penternak babi di China, dan harus dikawal dengan segera bagi mengelak pandemik.

H1N1 amat mudah dijangkiti dan merebak di seluruh dunia pada tahun 2009, membunuh kira-kira 285,000 orang dan kini bertukar menjadi selesema bermusim.

Strain baharu, yang dikenali sebagai G4 EA H1N1, biasa dikesan di ladang-ladang babi di China sejak 2016.

Sementara itu, satu laporan di BEIJING menyebut para saintis di China dilapor berjaya mengenal pasti virus baharu yang dipercayai berpotensi menjadi pandemik.

Ia susulan penemuan pada dua individu yang dilapor dijangkiti virus tersebut baru-baru ini.

Menurut Jurnal PNAS, virus G4 EA H1N1 ini mirip selesema babi H1N1.

Setakat ini, vaksin influenza sedia ada tidak merangkumi virus G4 EA H1N1 dan manusia didapati tidak mempunyai kekebalan terhadapnya.

Menurut artikel itu, tinjauan  epidemiologi mendapati kedua-dua pesakit mempunyai jiran yang memelihara babi. Pada masa sama, virus G4 EA ini didapati boleh berjangkit daripada babi kepada manusia, menyebabkan jangkitan teruk dan kemungkinan membawa maut.

Saintis berkata 10.4 peratus (35 daripada 338) pekerja di ladang babi itu telah diuji dan didapati mempunyai antibodi untuk virus tersebut.

Menurut para saintis, jangkitan seperti ini meningkatkan kemungkinan adaptasi virus itu dalam kalangan manusia, dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan terjadinya pandemik.

Walaupun tidak diketahui tahap bahaya atau apakah ia boleh merebak seperti virus SARS-CoV-2 penyebab Covid-19, para penyelidik memberi amaran virus ini perlu diberi perhatian.

Related posts

Leave a Comment