Indonesia rekod 56,385 kes

INDONESIA merekodkan 1,293 kes positif baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat kepada 56,385  kes, dengan 71 lagi kematian.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, jumlah keseluruhan kematian kini 2,876 orang.

Sebanyak 13,182 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 893 kes, diikuti provinsi Jakarta (632 kes), Kalimantan Selatan (189), Jawa Barat (176) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

SINGAPURA melaporkan 246 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan enam kes dalam komuniti, menjadikan jumlahnya 43,907 kes.

Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan, kes komuniti melibatkan tiga rakyat Singapura atau penduduk tetap dan tiga pemegang pas pekerja.

Kes baharu yang lain melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Sehingga tengah hari semalam, 26 orang meninggal dunia manakala 37,985 atau 87 peratus daripada jumlah pesakit pulih dan 197 masih di hospital termasuk satu di unit rawatan rapi.

Manakala 5,453 pesakit yang mempunyai simptom sederhana atau secara klinikal sihat tetapi setelah diuji masih positif Covid-19 telah diasingkan dan menerima rawatan di fasiliti komuniti.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang merekodkan 1,082 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes 37,514. Kes baharu melibatkan 858 kes terkini dan 222 kes lewat .

Jabatan Kesihatan juga memaklumkan  277 kes pulih yang membawa jumlah keseluruhan kes sembuh meningkat kepada 10,233.

Sementara itu 11 lagi kematian dilaporkan menjadikan 1,266 orang maut akibat penularan wabak Covid-19.

THAILAND melaporkan dua kes Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,171 kes dengan 58 kematian. Hari ini merupakan hari ke-36 tanpa jangkitan tempatan di Thailand.

Dua kes baharu itu melibatkan warganegara Thailand yang kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin 14 hari di kemudahan milik kerajaan.

Sementara itu, Thailand melanjutkan perintah darurat selama sebulan lagi hingga akhir Julai bagi mengurangkan risiko gelombang kedua pandemik Covid-19 di negara itu, walaupun lebih banyak perniagaan dan premis berisiko tinggi dibuka semula, bermula esok.

Selain lebih banyak sektor dibuka semula, Thailand juga dijangka menerima kemasukan warga asing termasuk pemastautin tetap; warga asing yang berkahwin dengan rakyat Thailand dan anak-anak mereka; pelajar dan guru antarabangsa; serta mereka yang memerlukan rawatan perubatan di negara itu, bermula esok.

Related posts

Leave a Comment