Thailand cadang lanjut darurat

INDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila merekodkan 1,178 kes baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kes kini 50,187.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 47 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 2,620 orang.

Sebanyak 13,323 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 764 kes, diikuti provinsi Jakarta (608 kes), Kalimantan Selatan (175), Jawa Barat (173) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

THAILAND melaporkan satu kes Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam iaitu melibatkan seorang pelajar warganegaranya yang pulang dari Mesir, menjadikan jumlah keseluruhan 3,158 kes dengan 58 kematian.

Walaupun negara berkenaan merekodkan hari ke-31 berturut-turut tanpa jangkitan tempatan Covid-19, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) Jeneral Somsak Roongsita mengumumkan rancangan melanjutkan tempoh perintah darurat yang akan tamat 30 Jun selama sebulan lagi, sehingga akhir Julai .

Langkah itu bagi mengekang gelombang kedua pandemik Covid-19 di negara itu.

Perintah darurat pertama kali diisytiharkan bermula 26 Mac hingga 30 April dan dilanjutkan sehingga 31 Mei untuk membendung penularan wabak Covid-19.

SINGAPURA melaporkan 113 kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini , 25 Jun dengan lima daripadanya adalah kes dalam komuniti. Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu 42,736 kes, sejak kes pertama dikesan pada 23 Januari.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan setakat tengah hari, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata satu daripada lima kes dalam komuniti, ialah warga Singapura dan empat yang lain adalah pemegang pas kerja.

Setakat tengah hari semalam, 36,299 kes atau kira-kira 85 peratus daripada jumlah pesakit telah pulih sepenuhnya.

Terdapat 189 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan satu berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi. Setakat ini, 26 orang meninggal dunia.

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 25 Jun 2020,  merekodkan 778 kes harian baharu melibatkan 415 kes terkini dan 363 kes lewat lapor yang menjadikan jumlah keseluruhan kes 33,069.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga melaporkan lapan kematian menjadikan jumlah 1,212 kes manakala 255 pesakit pulih yang membawa jumlah keseluruhan pemulihan kepada 8,910 kes.

Related posts

Leave a Comment