Enam kes positif harian

PUTRAJAYA: Kes baharu Covid-19 pada 24 Jun kekal mencatatkan satu angka iaitu enam kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 244 kes, kata

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Dengan pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,596 kes, dan kematian kekal 121 kes.

Daripada enam kes baharu, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

Terdapat 45 kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya 8,231 kes atau 95.8 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu terdapat tiga kluster baharu dikesan iaitu Kluster Kondominium Hulu Langat; Kluster Bukit Bintang; dan Kluster Tapak Pembinaan Kuching. 

Bagi Kluster Bukit Bintang, sehingga kini 10 kes positif dilaporkan yang melibatkan sembilan warganegara Bangladesh dan satu warganegara Malaysia.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-8498) merupakan seorang lelaki bukan warganegara, yang telah menjalani saringan Covid-19 untuk masuk kerja dan didapati positif pada 15 Jun.

Siasatan dan saringan ke atas semua kontak rapat telah dijalankan. Setakat ini, seramai 274 orang telah disaring di mana 203 adalah bukan warganegara dan 71 adalah warganegara Malaysia.

Tujuh daripada 10 kes positif kluster ini adalah rakan serumah, kepada kes indeks.

Bagi Kluster Kondominium Hulu Langat pula, kes indeks kluster ini (kes ke-8368) merupakan seorang pelajar pusat tahfiz, yang dikesan positif saringan Covid-19 pada 8 Jun.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dilakukan dan dua lagi kes positif dikesan dalam kluster yang dipercayai berpunca, daripada kes kunjung-mengunjung ini.

Katanya, seramai 40 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring, daripada jumlah keseluruhan ini, 26 orang adalah bukan warganegara dan 14 orang adalah warganegara Malaysia.

Bagi Kluster Tapak Pembinaan Kuching (Sarawak), ia mula dikesan apabila kes ketiga kluster ini (iaitu kes ke-8591) telah membuat saringan Covid-19, di sebuah klinik swasta dan didapati positif.

Beliau merupakan ketua penyelia kepada dua orang pekerja warga Indonesia yang telah dikesan positif pada 16 Jun hasil, saringan di tempat kerja.

Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat termasuk pekerja-pekerja tapak pembinaan tersebut serta ahli keluarga mereka telah dijalankan dan setakat ini seramai 426 kontak telah dikenal pasti. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Tambahnya, ketiga-tiga kluster masih terkawal.

Related posts

Leave a Comment