Pelajar perempuan dilarikan depan sekolah

GOMBAK 7 Jan. – Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita kerana disyaki melarikan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun ketika mangsa berada di hadapan sebuah sekolah menengah di Kepong, di sini, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan daripada ibu mangsa berusia 42 tahun pada jam 10.36 pagi sebelum itu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, ibu mangsa sebelum itu dimaklumkan oleh guru anaknya mengenai tindakan seorang lelaki dan seorang wanita melarikan pelajar terbabit menggunakan sebuah kereta di hadapan sekolah.

Susulan itu, Noor Ariffin berkata, polis menahan tiga individu, membabitkan dua lelaki tempatan berumur 22 dan 20 tahun serta seorang wanita tempatan berumur 20 tahun.

“Turut dirampas sebuah kereta Toyota warna putih dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR. Semua suspek kini direman empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Yap Ching Chua di talian 019-9969649, selain Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Related posts

Leave a Comment