Indonesia catat 38,277 kes

INDONESIA terus merekodkan peningkatan kes apabila 857 lagi kes dikesan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kes 38,277 dengan kematian pula meningkat kepada 2,134 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 43 lagi kematian dilaporkan manakala 13,574 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 600 kes, diikuti provinsi Jakarta (555) , Jawa Barat (161), Kalimantan Selatan (125) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain.

THAILAND pula melaporkan satu kes baharu melibatkan seorang wanita tempatan yang kembali dari Amerika Syarikat menjadikan jumlah kes keseluruhan kepada 3,135 dengan tiada jangkitan tempatan.  

Tiada laporan kematian dan jumlah korban kekal 58 dalam tempoh 24 jam lepas. 

Penuntut berusia 25 tahun itu tiba di Thailand pada 8 Jun tanpa menunjukkan sebarang gejala Covid-19. Dia menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti kerajaan.

Sejak 3 April sehingga semalam, sebanyak 38,944 rakyat Thailand kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin 14 hari. Sejumlah 28,746 selesai dikuarantin dan setakat ini, 198 didapati positif.

SINGAPURA mengesahkan tambahan 407 kes baru jangkitan Covid-19, dengan majoriti besarnya masih melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes 40,604.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyataan menyatakan, daripada jumlah itu, hanya sembilan kes melibatkan warganegara Singapura dan penduduk tetap, manakala lima merupakan pemegang pas kerja.

Sehingga kini, 26 telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dengan kes terbaru melibatkan seorang warga emas wanita Singapura berusia 73 tahun.

FILIPINA sehingga 4 petang 14 Jun merekodkan 539 kes iaitu 366 kes terkini dan 173 kes lewat lapor menjadikan jumlah kes Covid-19 meningkat kepada 25,930.

Jabatan Kesihatan (DOH) mengumumkan 14 kematian baharu menjadikan jumlah 1,088 kes. Kes pulih pula meningkat kepada 5,954 berikutan 248 lagi kes sembuh hari ini.

Related posts

Leave a Comment