Indonesia 672 kes, 50 kematian

SINGAPURA merekodkan 383 kes jangkitan Covid-19 baharu sehingga 12 tengah hari ini (7 Jun) menjadikan jumlah kes terkumpul meningkat kepada 37,910 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), 14 merupakan kes dalam masyarakat, yang terdiri daripada 10 warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) manakala empat adalah pemegang pas pekerja atau pelajar. 

Baki kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja asing. 

Dalam kalangan 14 kes dalam masyarakat itu, sembilan telah diperiksa secara proaktif sebagai sebahagian daripada usaha aktif dalam pengesanan awal kes di sekolah dan mereka yang ada simptom jangkitan pernafasan berpanjangan. 

INDONESIA merekodkan 672 kes baharu dan 50 kematian menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di republik itu meningkat kepada 31,186 kes dengan jumlah kematian sebanyak 1,851 orang.

Menurut Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi  tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari hari ini, sebanyak 50 lagi kematian berlaku.

Jakarta masih mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 529 kes, diikuti Jawa Timur (483 kes), Jawa Barat (158) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sebanyak 14,197 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

BRUNEI DARUSSALAM terus mengekalkan kes sifar jangkitan Covid-19, iaitu  sebulan tanpa kes baharu sejak 8 Mei lalu.

Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah kes kekal 141 orang dengan dua kematian, dan 138 sembuh.

Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md. Isham Jaafar pada sidang media  situasi terkini jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam petang ini berkata, hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu juga, sebanyak 502 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal sejak Januari 2020 kepada 21,659 ujian.

Mengenai aplikasi BruHealth, satu kemudahan memasuki masjid, restoran, gym, serta perniagaan dan perkhidmatan lain, seramai 281,969 orang telah mendaftar dan 6,034 syarikat dan premis juga berbuat demikian.

THAILAND merekodkan lapan kes baharu dan sifar kematian menjadikan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 adalah 3,112 dan 58 kematian.

Penolong Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Panprapa Yongtrakul, berkata, kes baharu melibatkan mereka yang baru pulang dari luar negara dan dikuarantin selama 14 hari di fasiliti kerajaan sejak kembali ke negara ini.

Mereka adalah lima dari Emiriyah Arab Bersatu, dua dari Kuwait dan seorang dari India.

Thailand merekodkan sifar kematian sejak 13 hari lalu.

FILIPINA setakat pukul 4 petang (7 Jun 2020), mencatatkan 555 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes 21,895.

Menurut Jabatan Kesihatan (DOH), kes itu melibatkan 378 kes terkini manakala 177 lagi kes lewat lapor. Kes hari ini adalah berdasarkan laporan pencapaian harian yang diserahkan oleh 37 daripada 43 makmal operasi semasa.

Jumlah kematian pula meningkat kepada 1,003 apabila sembilan lagi pesakit dilaporkan meninggal dunia.

Sementara itu DOH juga mengumumkan 89 pesakit sembuh menjadikan jumlah pemulihan meningkat kepada 4,530.

Related posts

Leave a Comment