Brunei buka semula sekolah, 22,000 kembali ke kelas 2 Jun

LEBIH 22,000 pelajar di seluruh Brunei Darussalam kembali menyambung sesi persekolahan masing-masing mulai Selasa, 2 Jun lalu selepas ditutup sejak 11 Mac akibat wabak Covid-19.

Ia melibatkan sekolah rendah, menengah, pusat tingkatan enam, vokasional dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di bawah Kementerian Pendidikan, termasuk sekolah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, juga sekolah swasta.

Sementara bagi sekolah-sekolah antarabangsa, ia tertakluk kepada suatu tarikh yang ditetapkan oleh institusi masing-masing.

Para pelajar memulakan pembelajaran mereka secara fizikal di bilik-bilik darjah setelah membuat pembelajaran di rumah secara dalam talian.

Sesi persekolahan secara fizikal yang dimulakan secara berperingkat itu bertujuan bagi memastikan kesejahteraan, tahap keselamatan dan kesihatan pelajar-pelajar juga warga sekolah di negara ini sentiasa terjamin.

Untuk rekod, Brunei Darussalam mencatatkan 141 kes Covid-19, dua meninggal dunia, 138 sembuh dan satu masih dirawat.

Bagi melancarkan sesi pembelajaran dan pengajaran, beberapa prosedur operasi ditetapkan, iaitu pembukaan sekolah secara berperingkat, garis panduan bagi sekolah-sekolah dan persiapan penjarakan juga kebersihan diri.

 Semua aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang membabitkan perhimpunan  ditiadakan bagi semua peringkat untuk memastikan keselamatan juga penjarakan sosial semua pelajar dan guru terjaga.

 Kementerian Pendidikan juga menyediakan Garis Panduan Pengurusan sebagai rujukan sekolah juga ibu bapa, antaranya pemeriksaan suhu badan bagi para pelajar sebelum masuk ke kelas yang diperiksa oleh guru atau penjaga sekolah.

Ada sekolah terpilih dilengkapkan dengan Smart Helmet, iaitu topi keledar yang dapat membuat pemeriksaan dan mengimbas suhu badan lebih daripada lima orang dalam satu masa.

 Para pelajar turut diingatkan untuk sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau sentiasa menggunakan pensanitasi tangan serta elakkan daripada menyentuh muka atau hidung, jangan menyentuh atau berkongsi  peralatan sekolah bersama rakan kelas lain, mengamalkan penjarakan sosial dan memakai sungkup muka jika ada.

Selain itu, setiap sekolah juga mempunyai Kod QR masing-masing, di mana guru-guru dan warga sekolah yang bertugas perlu mengimbas kod tersebut sebelum dan selepas waktu sekolah.

Ini adalah bagi memastikan kesejahteraan, tahap keselamatan dan kesihatan para pelajar juga warga sekolah di Negara Brunei Darussalam sentiasa terjamin, selain mengelakkan berlakunya penularan gelombang baharu wabak Covid-19.

(Sumber Jabatan Penerangan Brunei)

Related posts

Leave a Comment