Indonesia 684 kes, 35 kematian

TINDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 kepada 28,233 kes dengan angka korban akibat pandemik itu kini berjumlah 1,698 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 684 tambahan kes positif baharu, manakala 35 lagi kematian berlaku dalam tempoh berkenaan.

Seramai 13,285 pesakit masih dalam pemantauan.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 523 kes, diikuti Jawa Timur (429 kes), Jawa Barat (154) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

SINGAPURA memaklumkan tambahan 569 kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kini 36,405 kes.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata data awal setakat tengah hari menunjukkan bahawa kebanyakan kes masih melibatkan pekerja warga asing yang tinggal di asrama, dan tujuh kes dalam komuniti.

Seramai 23,175 pesakit, atau kira-kira 65 peratus daripada jumlah 35,836 kes keseluruhan semalam, telah pulih sepenuhnya.

Setakat tengah hari semalam, 331 kes masih dirawat  dengan enam di unit rawatan rapi, sementara 24 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang ini, merekodkan 751 kes jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah kes 19,748.

Kes baharu itu melibatkan 221 kes terkini manakala 530 sebagai kes lewat . Kes baru hari ini adalah berdasarkan laporan pencapaian harian yang diserahkan oleh hanya 30 daripada 42 makmal operasi semasa.

Jabatan Kesihatan juga mengumumkan lapan lagi kematian menjadikan jumlah kes 974 sementara 90 kes pulih membawa kepada jumlah pemulihan 4,153.

THAILAND merekodkan satu kes positif Covid-19 dan kematian sifar menjadikan jumlah kes 3,084 serta 58 kematian.

Kes baharu ini melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang baru kembali dari Arab Saudi melalui Kuala Lumpur.dan menaiki bas melalui Padang Besar.

Pesakit menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di Pattani dan disahkan positif melalui ujian kedua.

Setakat ini, 10 pelajar Thai daripada 39 penumpang bas disahkan positif Covid-19.

BRUNEI DARUSSALAM sekali lagi tidak merekodkan sebarang kes jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah kes kekal 141 orang, manakala 138 pesakit sembuh, dua meninggal dunia.

Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md Isham Jaafar berkata, hanya  satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan (National Isolation Centre – NIC) dan dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ExtraCorporeal Membrane Oxygenation – ECMO) dan mesin pernafasan.

Related posts

Leave a Comment