KES positif Covid-19 di seluruh dunia kini mencecah 6.34 juta manakala kematian meningkat kepada 378,266, demikian menurut data Johns Hopkins University,
Menurut data itu dalam tempoh 24 jam, terdapat pertambahan lebih 100,000 kes jangkitan baharu dan kenaikan 5,000 kematian.
Amerika Syarikat (AS) terus mendahului kes jangkitan dan kematian iaitu masing-masing 1,828,736 kes dan 106,046.
Merekodkan kes kedua tertinggi adalah Brazil dengan jumlah kumulatif positif jangkitan lebih setengah juta atau 526,447 diikuti Rusia dengan 423,186 kes.
Empat negara mencatatkan lebih 200,000 kes iaitu United Kingdom 279,391, Sepanyol 239,932, Itali 233,515 dan India 207,183.
Enam negara lagi mempunyai kes positif melepasi 100,000 iaitu Perancis 188,450, Jerman 183,879, Peru 170,039, Turki 165,555, Iran 157,562 dan Chile. 108,686.
Sementara itu, Kanada, Mexico dan Arab Saudi melepasi angka jangkitan di China tempat berasalnya virus itu dengan masing-masing merekodkan 93,890, 93,435 dan 89,011 berbanding China 84,160.
Mengenai kes kematian pula, United Kingdom dan Itali berada di tangga kedua dan ketiga dengan masing-masing mencatatkan 39,451 dan 33,530.
Manakala Brazil 29,937, Perancis 28,943, Sepanyol 27,127 dan Mexico 10,167.
Dalam pada itu, dunia terus menyaksikan perkembangan positif bagi kes pesakit dengan 2.7 juta pesakit sembuh di seluruh dunia dan dibenarkan discaj.