Lagi mangsa pemandu mabuk

MABUK lagi. Semakin kerap pula. Ketika pelbagai desakan dibuat oleh pelbagai pihak untuk mengenakan hukuman berat terhadap pemandu mabuk, nahas yang berkaitan terus berlaku.

Awal pagi 1 Jun 2020, seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohamed ZailiMohamed berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.

Katanya, ketika itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, dekat Ampang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Suspek memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu setelah ditahan orang awam.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu di Kuantan, seorang peraih ikan yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kereta yang dipandu seorang kakitangan Alam didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini atas tuduhan membunuh mangsa pada 25 Mei lalu.

Teoh Kian Peng, 42, dengan tenang mengaku memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Najwa Hashim.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Kian Peng yang memakai seluar pendek dan t-shirt putih didakwa membunuh Irwan Herman Kamarudin, 42, di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Petronas Bukit Rangin jam 9.20 malam pada 25 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Related posts

Leave a Comment