Brunei kekal 141 kes, Vietnam tiada kes baharu

THAILAND melaporkan sifar jangkitan tempatan Covid-19 sepanjang tujuh hari lepas dengan hanya satu kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu melibatkan wanita Thai yang menjalani kuarantin 14 hari di Chonburi selepas kembali dari Rusia.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19  Thaweesilp Wissanuyothin berkata setakat ini, jumlah kes terkumpul adalah 3,082 dengan 57 kematian.

Seramai 29,725 warga Thai sedang dikuarantin di fasiliti kerajaan selepas kembali dari luar negara. Setakat ini, 145 orang diuji positif Covid-19 semasa kuarantin.

Daripada 3,082 kes Covid-19 di negara itu, 2,965 pesakit pulih sementara 60 masih dirawat. Tiada kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

SINGAPURA mengesahkan 408 kes baharu menjadikan jumlah terkumpul kes Covid-19 di negara itu sebanyak 35,292 kes setakat tengah hari ini.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata kesemua kes baharu membabitkan pekerja asing tinggal di asrama.

Setakat semalam, 21,699 pesakit atau  63 peratus daripada jumlah kumulatif 34,884 orang telah sembuh manakala 321 kes masih dirawat di hospital dengan lapan berada di unit rawatan rapi sementara 23 meninggal dunia.

Kementerian juga memaklumkan ia telah selesai menjalankan ujian swab pusingan pertama  melibatkan kira-kira 9,000 pekerja rumah penjagaan dan 13,200 penghuni dengan hanya seorang pekerja dan empat penghuni disahkan positif. 

VIETNAM belum melaporkan sebarang kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah jangkitan setakat 31 Mei kekal 328, di mana 188 adalah kes import.

Agensi berita Vietnam (VNA) melaporkan, negara itu juga tidak mencatatkan kes jangkitan tempatan selama 45 hari berturut-turut. 

Seramai 279 pesakit atau 85 peratus telah pulih sementara 49 yang lain masih dirawat dan dilaporkan dalam keadaan stabil. 

Sementara itu, seramai  7,870 kontak rapat  pesakit Covid-19 atau yang baru pulang dari kawasan dilanda wabak, kini diletakkan di bawah pemantauan kesihatan. Seramai 69 dikuarantin di hospital, 6,870 di kemudahan khas dan 931 di rumah.

INDONESIA merekodkan 467 kes baharu bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 26,940 kes, dengan kematian kini berjumlah 1,641 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto, sebanyak 28 kematian dilaporkan.

Ketika ini, seramai 13,120 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 518 kes, diikuti Jawa Timur (412 kes), Jawa Barat (144) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain.

FILIPINA merekodkan 18,638 kes jangkitan Covid-19 sehingga pukul 4 petang ini yang turut melibatkan kes baharu sebanyak 119 dan 433 kes ‘lewat’.

Jabatan Kesihatan Filipina turut memaklumkan dalam tempoh yang sama, tiga kematian dilaporkan yang membawa jumlah keseluruhan kes 960.

Sebanyak 70 kes pulih menjadikan 3,979 pesakit sembuh.

BRUNEI DARUSSALAM tidak merekodkan sebarang kes jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah kes kekal 141 orang, manakala kes sembuh, seramai 138 orang.

 Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md Isham Jaafar berkata hanya  satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan (National Isolation Centre – NIC) dan dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ExtraCorporeal Membrane Oxygenation – ECMO) dan mesin pernafasan.

Dalam tempoh 24 jam lalu pula, sebanyak 130 sampel, diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 menjadi 19,516 ujian.

Related posts

Leave a Comment