Singapura buka semula masjid

MAJLIS Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan kebanyakan masjid di Singapura akan dibuka semula lima jam sehari, dari pukul hingga 6 petang, mulai 2 Jun, tanpa solat berjemaah termasuk solat Jumaat.

Fasa pertama pembukaan semula selepas tempoh pemutus litar berakhir 1 Jun ini memberi keutamaan kepada pekerja khidmat penting yang tiada ruang tetap untuk beribadah termasuk pemandu perkhidmatan penghantaran serta pemandu kenderaan sewa dan teksi.

Selepas pembukaan 68 masjid ini, ia akan diikuti pembukaan hampir semua masjid pada 8 Jun bagi solat lima waktu secara berseorangan. Lima zon solat akan diwujudkan dengan setiap zon dapat memuatkan sehingga lima individu daripada sebuah isi rumah.

MUIS turut menasihati masyarakat supaya mematuhi langkah-langkah pencegahan termasuk pemeriksaan suhu badan, mengenakan penutup hidung dan mulut , membawa sejadah sendiri, selain membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan lain untuk mendaftar di sistem Safe Entry.

Jemaah juga diminta mengelak daripada berdekatan dengan individu lain ketika di masjid termasuk bersalam manakala warga emas dan kanak-kanak digesa mengelak ke masjid pada masa ini.

Bagaimanapun, prasekolah di 15 tadika masjid akan dibuka secara bertahap mulai 2 Jun, selaras dengan garis panduan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), bagi membenarkan kanak-kanak meneruskan pembelajaran dan menyokong ibu bapa yang kembali bekerja.

“Pendekatan berjaga-jaga ini diambil dengan pandangan ada kemungkinan kes terselindung dalam masyarakat dan untuk menyokong usaha nasional mengekang penularan Covid-19 dalam masyarakat,” kata MUIS.

Sementara itu melalui Facebook, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad menggesa masyarakat bersikap bertanggungjawab apabila ke masjid.

“Kita harus mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk apabila ke masjid, bagi mengelak gelombang jangkitan semula dalam masyarakat. Marilah kita bersatu padu memainkan peranan dalam usaha bersama menentang virus ini,” katanya.

Masjid di Singapura ditutup sejak 13 Mac berikutan penularan wabak Covid-19.

Related posts

Leave a Comment