159 kes bukan warganegara

PUTRAJAYA : Kes positif meningkat tetapi jangan bimbang kerana daripada 172 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, 159 kes adalah bukan warganegara di mana 112 dikesan di tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Berikutan tambahan itu, jumlah kes kumulatif di negara ini adalah sebanyak 7,417 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,323 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 172 kes baru yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Daripada 167 kes penularan tempatan, 159 kes adalah bukan warganegara Malaysia. Rakyat tempatan yang dikesan positif Covid-19 adalah lapan kes.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depoh-depoh Imigresen ini merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa,” kata Dr. Noor Hisham.

Sehingga kini, seramai lapan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, 34 kes dilaporkan telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 5,979 kes (80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Pada masa yang sama, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dan jumlah

kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Related posts

Leave a Comment